Seorang pengunjung melihat replika Covid-19 pada Ekspo Kesihatan Dunia di Wuhan, China pada 11 November 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 80 peratus kematian Covid-19 umur 50 tahun ke atas

SHAH ALAM, 18 NOV: Sebanyak 85.4 peratus kematian akibat Covid-19 di Malaysia dalam kalangan umur 50 tahun ke atas, kata timbalan ketua pengarah kesihatan (perubatan).

Datuk Dr Rohaizat Yon berkata kematian pesakit juga dipengaruhi penyakit sedia ada seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung selain jangka masa mendapatkan rawatan kesihatan.

“Pelbagai strategi dirancang dan dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kesan positif apabila kadar kematian di negara ini adalah 0.6 peratus masih rendah berbanding rekod kematian di negara lain.

“Berdasarkan data Worldometer.info, bilangan kematian bagi setiap sejuta rakyat di Amerika Syarikat adalah 31,862, United Kingdom (732), Indonesia (54), Filipina (70) dan Malaysia (sembilan),” katanya menerusi Facebook KKM hari ini.

Beliau berkata perjuangan memerangi Covid-19 belum berakhir dan KKM terus berusaha meningkatkan kadar sembuh serta mengurangkan kematian.

“KKM sentiasa memastikan kelengkapan seperti unit rawatan rapi, alat bantuan pernafasan, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah, makmal, peralatan perlindungan diri serta petugas kesihatan berada pada tahap optimum,” katanya.

Sehingga semalam, kadar kematian di Malaysia akibat Covid-19 adalah 318 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan) manakala kadar sembuh adalah 36,623 kes (73.6 peratus daripada jumlah keseluruhan).


Pengarang :