Kawasan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang dipasang kawat duri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semasa tinjauan di sekitar kawasan itu pada 12 November 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

PKPD Medan 88: 40 penduduk serah diri setakat Selasa

SEPANG, 18 NOV: Seramai 40 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), telah tampil menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata statistik sehingga semalam itu melibatkan 14 rakyat Malaysia terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita dan 26 warga asing iaitu 18 lelaki dan lapan wanita.

Wan Kamarul Azran berkata 26 warganegara asing itu membabitkan Indonesia (12 lelaki dan empat wanita), Thailand (tiga lelaki dan empat wanita) dan masing-masing satu melibatkan India, Myanmar dan Nepal yang kesemuanya lelaki.

Penghuni dan pekerja di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 Nov sehingga 25 November depan dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19 ketika tinjauan hari ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata seramai 346 penduduk Medan 88 sudah menjalani saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu 44 orang disahkan positif sebelum PKPD dilaksanakan dan empat didapati positif selepas pelaksanaan PKPD.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang positif dari Medan 88 ialah 48 orang.

Kata Wan Kamarul Azran, jumlah semasa penghuni dalam Medan 88 kini ialah seramai 383 orang, manakala jumlah pekerja yang bekerja di Medan 88 tetapi menjalani kuarantin di luar kawasan ini ialah 50 orang.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD yang berkuat kuasa dari 12 hingga 25 November ini.

– BERNAMA


Pengarang :