Selangorkini
Sekumpulan remaja meredah jalan yang dinaiki air ekoran banjir kilat yang melanda selepas hujan lebat ketika tinjauan di Kampung Parit Mahang Jeram Kuala Selangor pada 21 November 2020. Foto BERNAMA
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat pemindahan banjir kekal empat, bilangan mangsa menurun

SHAH ALAM, 22 NOV: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor dan Sepang masih dibuka untuk menempatkan seramai 133 mangsa banjir daripada 72 keluarga.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) memaklumkan pusat pemindahan meliputi Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Seri Coalfield 2 yang menempatkan 26 mangsa daripada sembilan keluarga.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang (52 mangsa, 51 keluarga), SK Ijok (38 mangsa, sembilan keluarga) dan Sekolah Rendah Labu Lanjut, Sepang (17 mangsa, tiga keluarga).

Salah seorang daripada 52 warga emas dari Rumah Orang Tua-Tua Al Jashiera Ijok yang ditempatkan sementara di pusat pemindahan ekoran banjir kilat yang melanda ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang Jeram Kuala Selangor pada 21 November 2020. Foto BERNAMA

“UPBN dan Smart Selangor Command Centre akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian yang berlaku serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” kata agensi itu.

Sementara itu, pegawai daerah Kuala Selangor memaklumkan paras air di semua kawasan terjejas belum surut sehingga kini, namun bilangan mangsa menurun.

“Keadaan setakat jam 11 tadi menunjukkan paras air masih statik dan hujan lebat pada sebelah pagi. Jumlah mangsa pula menurun kepada 133 berbanding 137 yang dicatatkan semalam,” kata Mohd Faizal Abdul Raji.

Beliau berkata semua kemudahan pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir dinyahkuman oleh bomba bagi mengekang penularan Covid-19.

“Mangsa turut diberikan kit bencana selain kualiti air PPS disahkan bersih dan selamat digunakan,” katanya.


Pengarang :