AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raih permintaan tinggi, Selangor fokus bangunkan industri halal

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Selangor fokus membangunkan industri halal yang berpotensi besar dalam sektor ekonomi dan mendapat permintaan tinggi pengguna.

EXCO industri halal berkata sektor yang amat penting itu dijangka mencatat hasil RM50 bilion tahun ini berdasarkan laporan Perbadanan Pembangunan Halal Malaysia.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan industri itu juga bakal menyumbang kira-kira 7.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika sesi perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 4 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selain Hab Halal Selangor, kita berhasrat menjadikan agensi seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Halal International Selangor sebagai entiti yang bergerak seiring.

“Langkah ini bagi memudahkan pemain industri dan meraih potensi pelaburan luar negara,” katanya ketika merasmikan program Bicara Halal yang disiarkan secara maya semalam.

Mohd Zawawi berkata isu halal bukan hanya meliputi soal makanan tetapi termasuk ubat-ubatan, kosmetik dan perbankan yang berkaitan riba.

Majlis Halal Selangor dianggotai Invest Selangor Berhad bersama Mais dan Jais bertanggungjawab merangka serta menjalankan kajian pelan tindakan industri halal negeri bermula 2018 hingga 2028.

Usaha itu meliputi kajian khusus dan garis panduan dalam menentukan hala tuju pembangunan untuk menjadikan Selangor sebagai pilihan utama perdagangan halal di peringkat global.


Pengarang :