Reaksi sebahagian pekerja warga asing yang berada di luar rumah susulan pelaksanaan PKPD asrama pekerja Top Glove pada 21 November 2020 di Jalan Abadi 1A Meru Klang. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Covid-19: Kes meningkat, jangan stigma pekerja asing

SHAH ALAM, 16 DIS: EXCO kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak menstigmakan pekerja warga asing berikutan peningkatan kes Covid-19 membabitkan golongan berkenaan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia kerana warga asing juga mendapat jangkitan wabak daripada komuniti sebelum menjangkiti rakan lain di tempat tinggal mereka.

“Sememangnya virus berkenaan sudah ada dalam komuniti kita, cuma kesannya lebih besar terhadap golongan ini kerana mereka tinggal dalam keadaan sesak dan sempit, sehingga menyebabkan jangkitan merebak lebih cepat.

“Berbeza dengan komuniti mempunyai tempat tinggal lebih baik berbanding mereka. Oleh itu, apabila ada pengumuman berlaku peningkatan kes Covid-19 membabitkan pekerja warga asing, janganlah kita stigmakan mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah meminta supaya orang ramai terus mematuhi tatacara piawai operasi (SOP) terutama ketika bertemu dengan golongan berisiko.

“Wabak ini bukan berpunca daripada golongan tertentu tetapi ia sudah berada dalam komuniti, oleh itu lindungi golongan berisiko seperti bayi, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit.

“Sekiranya tidak mempunyai urusan penting, duduklah di rumah bagi mengawal wabak ini daripada terus merebak,” katanya lagi.


Pengarang :