Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 2 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid19: Lembah Klang catat 578 kes, lebih separuh kes keseluruhan

SHAH ALAM, 4 DIS: Lembah Klang merekodkan 578 kes baharu hari ini atau 50.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di Malaysia.

Ketua pengarah kesihatan berkata Selangor mencatat 320 kes harian, Kuala Lumpur (256) dan Putrajaya (dua) selain mengesan empat kluster baharu.

“Kluster tersebut adalah Kluster Tapak Bina Muda melibatkan kawasan Titiwangsa, Lembah Pantai dan Kepong serta Kluster Tapak Bina Galeri di Lembah Pantai dan Cheras.

“Kita juga kesan Kluster Bukit Dalam di Lembah Pantai serta Kluster Jalan Genting melibatkan daerah Titiwangsa di Kuala Lumpur dan Bentong, Pahang,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Malaysia merekodkan sebanyak 1,141 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 70,236 kes dengan 10,799 daripadanya kes aktif.

Bilangan sembuh pula 1,144 kes menjadikan jumlah kumulatif pulih 59,061 (84.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).


Pengarang :