C Pravin, 23, (kanan) mematuhi SOP dengan memakai apron, sarung tangan dan pelindung muka ketika menggunting rambut pelanggannya di Kampung Batu Hampar pada 6 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gagal patuh SOP, 25 industri pembuatan di Selangor dikompaun

SHAH ALAM, 17 DIS: Sebanyak 25 industri pembuatan dikenakan kompaun RM1,000 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ekoran gagal mematuhi sebahagian tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata kompaun itu dikeluarkan dalam Op Pematuhan SOP MKN Sektor Pembuatan yang dijalankan jabatan tersebut ke atas 53 industri di negeri ini pada 25 Nov hingga Isnin lepas.

Beliau berkata sebanyak 14 lagi industri pembuatan yang diperiksa juga diarah tutup selama tujuh hari mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana gagal mematuhi kebanyakan SOP tersebut.

“Bagaimanapun, 14 industri itu dibenarkan beroperasi semula selepas pemeriksaan pegawai penguat kuasa mendapati mereka telah mematuhi SOP MKN.

“Sebanyak 14 lagi industri yang diperiksa didapati mematuhi semua SOP MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Sha’ari berkata antara ketidakpatuhan SOP MKN yang dikesan dalam operasi tersebut ialah kegagalan membuat saringan suhu ke atas pekerja dan pelawat setiap hari; tidak menyediakan amalan penjarakan fizikal pada lantai, meja dan kerusi; gagal mengemukakan bukti mengadakan sanitasi tiga kali sehari di kawasan umum serta tidak menyediakan cecair pensanitasi tangan.

Justeru katanya, pengusaha industri pembuatan di Selangor digesa mematuhi semua SOP MKN secara berterusan dan menyeluruh bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19.

Orang ramai juga boleh membuat aduan berkaitan ketidakpatuhan SOP MKN dengan menghubungi JKNS di talian 03-51237333 atau melayari laman web http://www.jknselangor.moh.gov.my.

-BERNAMA


Pengarang :