Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama keluarga bergambar kenangan di lokasi paling popular Kuala Selangor iaitu Sky Mirror. Foto Facebook MDKS
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MB, keluarga pilih Kuala Selangor sebagai destinasi bercuti

SHAH ALAM, 30 DIS: Dato’ Menteri Besar menyahut seruan kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! apabila memilih Kuala Selangor sebagai destinasi percutian bersama keluarga.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berkata pemimpin nombor satu negeri itu berkesempatan meneroka lokasi paling popular di daerah berkenaan iaitu Sky Mirror.

Selain itu, turut dilawati ialah Bukit Malawati, Makam Diraja, Santuari Kelip-kelip, memandu go kart di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor serta memancing udang galah di Kampung Kuantan.

“Selain dari mengunjungi kawasan tarikan pelancongan, Dato’ Seri Amirudin Shari sekeluarga juga tidak melepaskan peluang menikmati keunikan makanan tempatan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama keluarga ketika memancing udang galah di Kampung Kuantan. Foto Facebook MDKS

“Ia termasuk Cendol Borhan, ketupat Permatang, nasi ambeng di Warung Ibu serta masakan hasil laut di Pasir Penambang dan Jeram,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

MDKS turut berbangga dan gembira apabila Dato’ Menteri Besar memilih Kuala Selangor sebagai destinasi pilihan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin Shari, Datin Seri Masdiana Muhamad dan anak-anak kerana memilih Kuala Selangor sebagai destinasi percutian sekeluarga,” katanya.

MDKS turut berbangga dan gembira apabila Dato’ Menteri Besar memilih Kuala Selangor sebagai destinasi pilihan. Foto: Facebook MDKS

Pengarang :