Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan kunci van jenazah serta gimik penyerahan van ketika Program Serahan Sumbangan DUN Sungai Tua dan HIJRAH Masjid An Nur, Kampung Wira Damai, Batu Caves pada 13 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Projek RM200 juta atasi gangguan bekalan air siap 15 bulan

GOMBAK, 13 DIS: Projek bernilai RM200 juta bagi mengatasi isu pencemaran air di Selangor bakal dilaksanakan pada Januari depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif merangkumi empat projek dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 15 bulan.

“Teknologi nano akan diguna untuk membersih dan menjernihkan air secara semulajadi. Selain itu sekiranya berlaku pencemaran, kita alihkan aliran air ke kawasan lain tanpa masuk ke loji rawatan.

“Kemudian kita pam air simpanan dari Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) dan Kolam Takungan Hiliran (ORS) ke loji rawatan air yang cukup untuk kegunaan harian dalam tempoh lima hari,” katanya ditemui pemberita selepas mengadakan Siri Jelajah Dun Sungai Tua hari ini.

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober lalu menggariskan empat langkah mengatasi gangguan bekalan air.

Perkara tersebut meliputi projek perintis rawatan teknologi nano bagi merawat air Sungai Gong dan menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk.

Turut dilaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS dan ORS di Bestari Jaya serta pemantauan dan pengawasan 24 jam di kawasan sensitif.

Selain itu Dewan Negeri Selangor turut meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Urus Air Selangor (Luas) Pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pencemar alam sekitar.

Pindaan itu menaikkan denda daripada RM100,000 kepada minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta manakala penjara dijadikan hukuman mandotari.


Pengarang :