Petugas kesihatan menanggalkan gelang kuarantin seorang individu yang selesai menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari dan bebas jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tempoh kuarantin pengembara, kontak rapat dipendekkan kepada 10 hari

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Berkuat kuasa esok, tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman.

“Semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.

“Kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, beberapa negara menyemak semula tempoh kuarantin wajib masing-masing.

“United Kingdom, Jerman dan Belgium menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari manakala Perancis pula mengambil tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sidang media pada 4 Disember lepas mengumumkan untuk mengkaji langkah memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes disahkan positif Covid-19.

Katanya ini adalah selaras dengan situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.

-BERNAMA


Pengarang :