Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor ketika ditemui media selepas operasi bersepadu pembangunan tanpa kebenaran di Batu 17, Rawang pada 10 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPS kenal pasti lima struktur haram beroperasi untuk diroboh

RAWANG, 11 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenal pasti lima struktur haram beroperasi atas tanah kerajaan dan rizab sungai untuk perobohan fasa kedua.

Yang dipertuanya berkata tindakan penguatkuasaan dijangka awal bulan hadapan berdasarkan siasatan disusuli notis pengosongan menumpukan premis didirikan tanpa kebenaran merancang berhampiran Sungai Rawang dan Sungai Gong.

“MPS serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) memandang serius isu membabitkan premis terutama kilang beroperasi secara haram di sepanjang sungai kerana berpotensi mencemarkan sungai.

“Aktiviti di premis berkaitan menyebabkan pencemaran sehingga membawa kepada henti tugas loji rawatan air utama di Selangor sekali gus menyusahkan orang awam,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu di Batu 10, di sini yang diketuai PTD Gombak bersama MPS termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Shamsul Shahril Badliza menambah pihaknya juga akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap premis atau kilang yang tidak mematuhi syarat hak pemilikan selain tanah kerajaan.

“Pematuhan syarat tanah ini melibatkan kategori zon atau kebenaran merancang dan kita akan membuat semakan dari semasa ke semasa,” katanya.


Pengarang :