Gimik pelancaran Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

RiDE: Hampir 2,000 belia terima manfaat, peluang teroka bidang e-panggilan

SHAH ALAM, 4 DIS: Seramai 1,980 belia menerima manfaat program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang diperkenal Kerajaan Negeri tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata golongan tersebut menerima subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350 serta RM70 untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Selain itu seramai 1,020 peserta lagi bakal menyertai kursus e-panggilan percuma bersama BungkusIt, Zepto Express, Warong Rider dan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

“Dengan pasaran ekonomi sampingan yang semakin mengembang, RiDE merupakan peluang khusus untuk anak muda Selangor meneroka bidang ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata sejumlah RM2 juta diperuntuk untuk meneruskan RiDE pada tahun depan.

“Bukan sahaja bakal diperluas kepada belia di bandar, malah lebih banyak inisiatif digitalisasi diwujudkan dalam Belanjawan Selangor 2021.

“Selain itu RiDE bakal menjadi salah satu program ikonik dan bermanfaat kepada golongan belia di Selangor,” katanya.


Pengarang :