AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.0550/0650 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas berakhirnya cuti hujung minggu panjang sempena cuti Krismas, disokong oleh sentimen positif membabitkan pengumuman kerajaan mengenai pelan 10 tahun bagi merancakkan sektor pelancongan.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0550/0650 berbanding dolar AS berbanding 4.0590/0620 sewaktu ditutup pada Khamis lepas.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata meskipun usaha itu merupakan pelan jangka panjang bagi menggerakkan sektor pelancongan tempatan, tetapi langkah jangka pendek kerajaan untuk membenarkan perjalanan rentas negeri pada 6 Disember lepas telah menyaksikan kebanyakan kawasan tumpuan pelancongan mencatat aliran pelancong domestik yang ketara.

“Ini sudah pasti memberi sentimen positif bagi syarikat-syarikat berkaitan pelancongan seperti AirAsia Group, Malaysia Airports dan Genting Malaysia selain turut menarik aliran masuk bagi pasaran ekuiti.

“Perkara berikutnya yang menjadi tumpuan adalah pembukaan semula sempada antara negara-negara. Oleh itu, adalah diharapkan usaha vaksinasi akan berjalan lancar dan kehadiran varian baharu Covid-19 tidak menjejaskan usaha perjalanan global,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada masa sama, indeks dolar AS terus lemah ketika para pelabur masih menunggu tindakan Presiden Donald Trump menandatangani langkah rangsangan serta Rang Undang-Undang pembiayaan bagi mengelak kemungkinan kerajaan negara maju itu terpaksa ditutup sebahagiannya akibat kekurangan dana.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lainnya.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0514/0596 daripada 3.0537/0571 Khamis lepas dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4876/5028 daripada 5.5186/5243 sebelum ini.

Unit tempatan itu juga naik berbanding euro kepada 4.9435/9573 daripada 4.9479/9528 minggu lepas namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.9156/9256 daripada 3.9153/9193 sebelum ini.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat lepas bersempena cuti Krismas.

– BERNAMA


Pengarang :