Selangorkini
K Mathavi, 54, bersama anaknya O Durai Raj, 12, menjalani Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Saringan Komuniti Meru mungkin lanjut, sasar 1,000 individu

KLANG, 2 DIS: Saringan Komuniti Covid-19 percuma terhadap penduduk Meru mungkin dilanjutkan dua hari lagi bagi mencapai sasaran 1,000 individu.

Pengarah Selcare Management Sdn Bhd berkata perkara itu akan diputuskan selepas laporan lengkap saringan diserahkan kepada Kerajaan Negeri petang ini.

Muhammad Azfizam Hamzah memaklumkan seramai 430 penduduk menjalani ujian pengesanan Covid-19 setakat ini menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

“Sasaran awal ditetapkan antara 600 hingga 1,000 individu (membuat saringan). Kita akan beri laporan kepada Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO kesihatan awam) dan sedia untuk sambung jika diarah melengkapkan jumlah sasaran ditetapkan,” katanya.

Beliau ditemui Media Selangor selepas meninjau program saringan Covid-19 bersasar di perkarangan Dewan Masyarakat Taman Meru di sini hari ini.

Muhammad Azfizam berkata seramai 35 petugas Klinik Selcare dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang bertugas membuat saringan di kawasan tersebut.

Saringan Komuniti bersasar memfokuskan penduduk Taman Meru 3, Taman Seri Meru, Taman Bayu dan Taman Desa Permai susulan kenaikan mendadak kes Covid-19 melalui Kluster Teratai.


Pengarang :