Selangorkini
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA RENCANA

DYMM Sultan Sharafuddin berprinsip, tegas demi rakyat

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Oleh Norrasyidah Arshad

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tegas dalam perkara membabitkan kebajikan rakyat dan kepentingan negeri.

Apabila wabak Covid-19 melanda sejak awal tahun, baginda menitikberatkan tatacara operasi piawai dan meminta rakyat duduk di rumah bagi mengekang jangkitan virus.

Baginda juga menasihati rakyat yang bergejala atau pulang dari kawasan berisiko supaya membuat saringan selain mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.

Selain itu, Sultan Sharafuddin juga mengambil berat isu pencemaran sungai yang menjejaskan bekalan air pengguna. Justeru, baginda meminta Kerajaan Negeri mengatasi masalah itu dengan segera dan berkesan.

Malah, baginda juga memperkenan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang memperuntuk hukuman lebih berat kepada pesalah pencemar sumber air.

Perkenan itu susulan Dewan Negeri Selangor pada 9 November meluluskan pindaan enakmen itu yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta.

Keprihatinan baginda turut terserlah dalam isu laluan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan kawasan Gombak dan Serendah.

Meskipun pembinaan itu suatu bentuk pembangunan tetapi baginda tidak mahu projek berkenaan mendatangkan masalah kepada penduduk setempat.

Justeru, baginda bertitah projek pengangkutan itu perlu mengambil kira kesan sosial terhadap kawasan penempatan kampung tradisi dan Orang Asli.

Tindakan itu membuktikan baginda mengasihi segenap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Bahkan baginda mahu memelihara alam sekitar seperti hutan simpan serta kawasan tadahan air dan empangan yang menjadi sumber bekalan air mentah.

Bukan itu sahaja, ketika istiadat pembukaan penggal ketiga Dewan Negeri Selangor pada Mac lalu, Sultan Sharafuddin juga meminta Kerajaan Selangor fokus kepada penanaman pokok dalam bandar bagi mewujudkan persekitaran kehidupan berkualiti.

Baginda juga bertitah supaya masalah berkaitan persekitaran yang memberi dampak negatif hingga rakyat terkesan diberi perhatian khusus.

Sebagai negeri termaju, walau berdepan pelbagai risiko demi pembangunan, baginda tetap mahukan ia bergerak seiring de-ngan keselesaan hidup rakyat.

Selain kepentingan rakyat, Sultan Sharafuddin menekankan aspek integriti mana-mana pemimpin dan tidak teragak-agak mengambil tindakan jika perlu.

Justeru, baginda menarik balik darjah kebesaran beberapa pemimpin tanpa mengira fahaman politik khususnya individu yang terpalit dengan sabitan mahkamah.

Antara mereka ialah bekas Dato’ Menteri Besar, Dr Mohammad Khir Toyo pada Oktober 2015 serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Mei 2019.

Dalam mengetuai negeri ini, baginda juga menangani kemelut politik tetapi bijak membuat dan menilai keputusan demi memastikan keadaan negeri stabil serta berjalan lancar.

Februari lalu, ketika tampuk pemerintahan negara bertukar, baginda perkenan supaya pentadbiran Kerajaan Negeri pim-pinan Dato’ Seri Amirudin Shari terus berfungsi dan berjalan seperti biasa.

Walaupun perubahan berlaku pada pentadbiran peringkat pesekutuan, namun baginda berharap wujud kerjasama erat antara kedua-dua pihak demi memastikan rakyat tidak terpinggir dari arus pembangunan.

Sebagai Ketua Agama Islam pula, baginda juga menitikberatkan soal kesucian Islam dengan menitahkan larangan kepada penceramah, pendakwah dan khatib yang tidak mempunyai tauliah mengajar agama di masjid-masjid negeri ini.

Ia sebagai langkah mengelak penyebaran doktrin yang salah dalam kalangan masyarakat Islam di Selangor.

Selain itu, baginda sering mencemar duli mengunjungi majlis berbuka puasa bersama rakyat di masjid pelusuk negeri. Namun, tiada majlis sedemikian dibuat Ramadan lalu berikutan penularan Covid-19.

Usaha Sultan Selangor merapatkan jurang antara kehidupan diraja dengan rakyat jelata diakui ramai. Tidak hairanlah baginda menjadi kesayangan rakyat negeri ini.


Pengarang :