Petugas kesihatan Selcare membuat ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

14,000 peroleh manfaat saringan komuniti Covid-19 – Selcare

SHAH ALAM, 8 JAN: Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri memberi manfaat kepada kira-kira 14,000 individu seluruh Selangor sejak diperkenal April tahun lalu.

Pengurus Klinik Selcare Sdn Bhd berkata jumlah itu melibatkan saringan berskala besar di beberapa lokaliti zon merah dan secara pandu lalu.

“Dianggarkan antara 7,000 hingga 8,000 individu disaring melalui kaedah kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang mula digunakan sejak awal Disember tahun lalu di enam lokasi.

“Sebagai klinik milik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd, kita berbangga diberi kepercayaan menggerakkan inisiatif ini bagi meringankan beban rakyat,” kata Mohd Noor Md Nasir kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 di perkarangan Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini semalam.

Kerajaan Selangor melaksanakan ujian Covid-19 secara percuma mulai 11 April tahun lalu dengan matlamat melengkapi usaha dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengenal pasti golongan berisiko terutama warga emas yang tidak mempunyai gejala.

Pada 2 Disember, portal Saringan Komuniti SELangkah dilancar bagi memperkemas proses pengesanan kontak dan saringan pantas Covid-19.


Pengarang :