Laluan alternatif dibuka sementara kepada pengguna susulan penutupan Jalan Batu Arang B27, Rawang pada 1 Januari 2021. Foto ADN Rawang Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

ADN: Laluan alternatif Jalan Batu Arang B27 dibuka sementara, baiki paip bocor

SHAH ALAM, 3 JAN: Laluan alternatif dibuka sementara kepada pengguna bagi mengelak kesesakan berikutan penutupan Jalan Batu Arang B27, Rawang bermula kelmarin, kata ahli dewan negerinya.

Chua Wei Kiat berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat menjalankan kerja pembaikan paip bocor yang berlaku di bawah tanah jalan berhadapan stesen minyak Petronas kira-kira dua minggu lalu.

“Pihak Air Selangor dan JKR (Jabatan Kerja Raya) sudah beberapa kali masuk ke bawah tanah sepanjang tempoh itu untuk memutuskan sumber air serta menurap jalan tetapi punca (air) tidak dapat dihentikan.

Kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat menjalankan kerja pembaikan paip bocor di Jalan Batu Arang B27 pada 3 Januari 2021. Foto ADN Rawang Chua Wei Kiat

“Susulan itu, saya bersama Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen turun padang dan mengambil keputusan supaya kerja pengorekan jalan dan membaiki paip segera dibuat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata JKR diarah membuka laluan alternatif dan jalan sedia ada hanya dibuka kepada pengguna sebaik kerja baik pulih paip dan penurapan semula selesai.

“Kerja pembaikan dijadual selesai sepenuhnya semalam namun mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa masalah teknikal tidak dapat dielakkan,” katanya.

Bagaimanapun, Chua menjangka kerja berkaitan mampu disiapkan hari ini atau selewat-lewatnya esok.

“Justeru, pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika melalui jalan tersebut. Pekerja JKR dan Air Selangor ditempatkan di kawasan itu untuk mengawal laluan trafik,” katanya menambah tiada gangguan bekalan air sepanjang pembaikan dibuat.


Pengarang :