Selangorkini
Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di Pahang sejak 5 Januari 2021. Foto Ihsan : Facebook Wong Siew Ki
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Balakong salur bantuan RM200,000 buat mangsa banjir Pahang

SHAH ALAM, 10 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menyalurkan bantuan kecemasan RM200,000 dan 1,200 kotak minuman kepada mangsa banjir di Pahang.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan diagih sejak 5 Januari lalu kebanyakannya adalah hasil derma daripada masyarakat di DUN berkenaan.

“Kita bersimpati dengan apa yang berlaku kepada penduduk Pahang. Oleh itu, kita mengambil keputusan menghantar misi bantuan dikendalikan pasukan Semangat Balakong bermula di Raub,” kata Wong Siew Ki ketika dihubungi.

Menurutnya, bantuan juga disalur di tiga daerah lain iaitu Mengkarak, Mentakab dan Jerantut.

“Barangan keperluan lain turut disumbang antaranya pakaian, tilam, bantal dan tuala. Kita mengalu-alukan agar lebih ramai membantu mangsa bencana yang mana sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” tambahnya.

Banjir besar yang melanda Pahang sejak minggu lalu telah menenggelamkan sebahagian besar penempatan penduduk dengan air naik melepasi paras bumbung bangunan.

Setakat malam semalam, jumlah mangsa banjir di negeri itu mencatatkan penurunan kepada 26,075 orang berbanding 27,090 pada Jumaat yang ditempatkan di 284 pusat pemindahan sementara di sembilan daerah dengan Temerloh menjadi daerah paling teruk terjejas.


Pengarang :