Skuad kebangsaan melalui perubahan dan mencatat kejayaan membanggakan pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan ke-2 lalu. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Harimau Malaya buntu tanpa persediaan optimum hadapi kejohanan

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Pasukan bola sepak negara tidak mempunyai pilihan selain terpaksa meneruskan cabaran pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tanpa persediaan optimum seandainya ia diteruskan mengikut perancangan pada Mac depan.

Pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui, skuad bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe berkemungkinan besar tidak dapat dikumpulkan untuk menjalani latihan berpasukan menjelang saingan itu, selepas kem latihan pusat yang dijadual diadakan pada bulan ini dibatalkan.

Malah beliau berkata dengan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang akan bermula hujung Februari depan, serta ketidaktentuan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, ia menambah kesukaran dalam usaha mengumpulkan pemain.

“Kita sudah tidak ada pilihan selepas kita tak dapat nak adakan (kem latihan pusat) pada bulan ini. Jika kita nak panggil pemain pada bulan dua (Februari), mereka pasti sibuk dengan persiapan pasukan masing-masing, menjelang Liga-M yang bermula 26 Februari.

“Jadi macam mana kita nak panggil mereka semua untuk sertai kem latihan pusat selama 10 hari, mana ada pasukan ingin lepaskan pemain ketika mereka sedang giat dalam persediaan pramusim,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Bernama, hari ini.

Kem latihan pusat skuad kebangsaan yang pertama sejak November 2019 dijadual bermula 15 hingga 26 Januari ini, namun terpaksa dibatalkan ekoran pelaksanaan PKP di enam negeri untuk tempoh 14 hari sehingga 26 Januari.

Pada masa sama, Mohd Yusoff berkata pihaknya kini menunggu keputusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung jadual saingan kelayakan itu, sama ada ia akan diteruskan pada Mac atau ditangguh untuk diadakan secara karnival pada Jun di lokasi terpilih.

Menurut beliau, pasukan negara boleh memanfaatkan kalendar perlawanan antarabangsa dari 22 hingga 30 Mac depan untuk menjalani kem latihan pusat, sekiranya FIFA memutuskan untuk menunda saingan kelayakan itu pada Jun.

“Pada saya, mereka (FIFA) kena maklumkan cepat, kalau tidak susah semua negara dalam menentukan hala tuju musim ini. Namun apa saja keputusan mereka (FIFA) kita akan buat perancangan baharu atau ubah suai mengikut keadaan tertentu, bagi menghadapi saingan itu.

“Setakat ini, saya melihat kalau perlawanan pada Mac sukar untuk diadakan kem latihan pusat, tetapi sekiranya pada Jun kita masih berpeluang,” jelasnya.

Malaysia dijadual menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac dalam aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

– BERNAMA

 


Pengarang :