Anggota polis memeriksa surat kebenaran salah seorang pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Persiaran Kota, Klang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KKM nilai risko pergerakan rentas daerah, negeri – menteri

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat penilaian risiko terhadap pergerakan merentas daerah atau negeri terutamanya di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan wujud kluster baharu berkaitan aktiviti tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada masa ini, kerajaan belum memutuskan untuk menyekat kembali atau melaksanakan syarat baharu yang lebih ketat berkaitan pergerakan merentas daerah atau negeri.

Beliau berkata walaupun aktiviti tersebut dibenarkan ketika ini, rakyat perlu menjaga keselamatan diri dan individu lain seperti membuat ujian saringan Covid-19 secara sukarela sebelum ke kawasan lain.

“Sebelum ada keputusan eloklah kita sebagai individu untuk menjaga diri kita dan orang lain selain mengambil tindakan secara sukarela dengan membuat ujian saringan sebelum keluar sekiranya kita takut diri kita menjangkiti orang lain,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata perjalanan rentas sempadan daerah dan negeri serta terbabit dengan aktiviti sosial dilihat menyumbang kepada sekurang-kurangnya 14 kluster jangkitan Covid-19 sejak 7 Disember lepas hingga kini.

Mengulas cadangan ahli parlimen yang mahu mesyuarat Kabinet mempertimbangkan sidang khas Parlimen untuk membincangkan wabak Covid-19, Ismail Sabri berkata masih belum ada sebarang perbincangan mengenai sidang khas itu.

Beliau berkata walaupun belum ada mesyuarat khas mengenai perkara itu, strategi di bawah KKM sedang dilaksana, di samping strategi yang tidak berkaitan dengan kesihatan turut dilakukan untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir disaran berhubung dengan pusat kawalan bencana di daerah terjejas bagi memastikan kelancaran program masing-masing.

Katanya, mereka akan memperoleh maklumat lengkap berhubung jumlah mangsa, lokasi yang terlibat serta jenis bantuan yang diperlukan, dan kerajaan tidak menyekat aktiviti NGO dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa memerlukan.

– BERNAMA

 


Pengarang :