BUDAYARENCANA

Lelaki di bawah pohon jambu

Oleh Arif Zulkifli

Ilustrasi oleh Matarojit

LELAKI itu masih berdiri di situ, di bawah pohon jambu yang entah berapa tahun teguh berdiri dekat dengan laman rumahku. Langsir usang yang berada di dalam genggaman, bergegar laju, mengikut rentak gigil tanganku. Aku menoleh ke belakang, melihat tiga anak kecilku sedang seronok bermain sesama mereka. Serta-merta, satu keluhan berat terlepas daripada mulut.

“Mak keluar sekejap. Jangan ke mana-mana.”

Aku tinggalkan rumahku dan masuk ke dalam kegelapan. Bintang di langit bersinar terang, lebih terang daripada api lilin yang menerangi ruang tamu rumah. Sesekali dingin malam nakal menyapa bahagian kulitku yang terdedah tak dilitupi kain.

Susuk lelaki itu semakin jelas. Segala apa mengenai lelaki ini adalah hitam — daripada baju hingga ke seluarnya sehitam arang, rambutnya zulmat, matanya; matanya adalah jelaga, adalah angkasa raya, adalah lubang hitam yang menyedut masuk aku ke lembah ketiadaan dan sebab itu setiap kali aku bersemuka dengannya, matanya takkan aku tatap.

“Berikan aku masa lagi. Kami masih belum bersedia. Aku masih belum bersedia.”

Lelaki itu cuma diam, dan alam turut sama diam. Hilang terus bunyi cengkerik. Dan kerana alam terlalu diam, telinga aku jadi bingit dengan desing sunyi. Aku menahan nafas sementara menunggu jawapan darinya.

Kurasakan beberapa abad telah berlalu — padahal sesaat dua cuma — akhirnya dia mengangguk perlahan dan terus berlalu pergi. Alam kembali bising dan aku akhirnya dapat bernafas semula. Badanku basah dengan peluh dan kehadiran angin malam langsung tak membantu untuk menghilangkan gigil. Aku masih lagi selamat. Buat masa ini.

***

Matahari lambat bangun hari ini. Langit masih dengan selimut malamnya. Selepas kukucup dahi setiap anak-anakku, aku terus mengayuh basikal menuju ke pasar; tempatku mencari rezeki. Bakul rotan berisi sayur-sayuran yang kupetik dari belakang rumah, kuikat di belakang basikal. Jalan merah berlumpur membuatkan kayuhanku sedikit sukar. Aku tak perasan pula hujan turun malam tadi. Atau pun ia basah kerana embun. Apa-apa pun, jalan ini masih kekal merah tak berturap sejak nenekku masih muda lagi — menurutnya.

Masih kuingat, keluhannya ketika aku yang masih kecil sedang membonceng basikal yang dikayuhnya. “Entah bilalah jalan ni nak diturap. Sejak nenek muda dulu pun jalan masih merah berlumpur macam ni.” Dan nampaknya jalan ini akan kekal begini untuk berpuluh tahun lagi.

Kiri-kananku penuh dengan bendera-bendera bermacam warna yang digantung. Ada beberapa helai yang jatuh di atas tanah, dikotori lumpur. Hampir aku terlupa minggu hadapan pilihan raya. Entah apa lagi janji yang bakal ditaburi ‘mereka’.

Setelah tiba, aku mengunci basikalku di sebuah papan tanda jalan. Sempat aku menjeling tulisan Cina yang disembur dengan cat sembur hitam menutupi tulisan jawi. Bakul rotan dikendong dan aku berjalan masuk ke dalam pasar. Semoga ada rezekiku di sini hari ini.

Matahari sudah lama memunculkan diri, tetapi sayurku cuma berkurang satu dua. Aku cuba untuk tidak mengeluh, tetapi aku terlalu risau dengan tong beras yang hampir habis isinya di rumah. Kalau hasil jualanku sedikit, bagaimana mahu menyuap mulut-mulut kecil di rumah?

Suasana pasar tiba-tiba menjadi riuh. Dari kejauhan, aku melihat beberapa anggota berseragam biru gelap masuk ke dalam pasar. Cepat-cepat aku meraba bahagian mulut, memastikan masih ada topeng muka di situ. Beberapa minggu lalu, peniaga selang dua tapak daripada tempatku disaman polis, hanya kerana dia membuka topeng mukanya sekejap kerana terasa sesak nafas dan dia sendiri menghidapi asma. Padahal waktu itu kedainya kosong tak berpelanggan, tetapi polis enggan mendengar apa-apa alasan dan habis terbang seribu ringgitnya.

Gerombolan polis tadi rupa-rupanya mengiringi seorang lelaki gempal, bercermin mata. Aku kira dia datang daripada golongan ‘mereka’ yang bertanding. Dia kemas berbaju batik — pakaian yang kukira sangat tak sesuai untuk ke pasar — dan yang peliknya, wajahnya langsung tak ditutupi topeng muka. Mulutnya merekah senyum sambil tangannya bersalam-salaman dengan peniaga yang datang merapat. Aku pasti lewat setiap salamannya itu, not ungu berganti tangan, dan peniaga yang mendekat tadi pun ikut sama tersenyum.

Apabila dia berjalan di hadapan tapak niagaku, aku cuma meletakkan tangan di dada dan menunduk. Wajahnya jelas berubah kelat, tapi cuma sesaat dua. Dan dia pun berlalu pergi. Hatiku meraung, menyuruh tangan menyambut not yang dihulur, tetapi otakku masih waras.

Cukup 30 minit menujuk muka, dia pun hilang. Pasar kembali lengang dan sayurku masih kekal banyak itu sehingga habis waktu berniaga. Kayuhanku pulang ke rumah terasa berat sekali, seperti seluruh bumi diletakkan di atas bahu.

***

Sudah lima hari berlalu sejak lelaki gempal itu datang ke pasar, dan sepanjang lima hari itu juga aku cuma berada di rumah. Pasar ditutup selama dua minggu apabila lelaki gempal itu didapati positif Covid. Beras sudah habis langsung, dan duitku cuma tinggal beberapa keping not hijau. Malam ini terasa panjang sekali. Sudah tiga hari kami sekeluarga makan sup sayur. Keluhan anak-anak terpaksa aku senyapkan dengan pujuk dan janji.

Hampir tumpah air mata yang aku tahan, apabila melihat anak sulungku memberikan separuh daripada sup sayurnya kepada adik paling kecil. Katanya padaku, dia tak lapar lagi, tapi keroncong perutnya lebih bingit daripada cengkerik di luar.

Sampai bila aku harus terus begini? Punca rezekiku ditutup langsung. Bukan aku tak mahu mencari kerja lain, tetapi kawasan aku tinggal ini, semuanya pun sama susah seperti aku. Bagaimana mereka mahu mengupahku kalau mereka sendiri menguis-nguis baki duit di dalam tabung?

“Kakak, jaga adik sebentar. Mak mahu keluar.”

Aku pasti lelaki itu masih setia berdiri di bawah pohon jambu, menunggu. Langkahku diorak perlahan, tetapi penuh dengan kepastian. Malam ini, aku beranikan diri untuk menatap matanya.

“Bawa kami pergi.”

Tiga perkataan yang ditunggu-tunggu lelaki itu, akhirnya aku luahkan. Dia mengangguk sekali, dan tiba-tiba sahaja aku sedang terbaring di bilikku. Tiga anak kecilku sudah lama dibelai lena di sebelah. Api lilin yang menyala malap, menggeliang-geliut membuatkan bayang-bayang kami empat beranak nampak seperti sedang menari di dinding.

Aku perasan sesusuk lembaga hitam — yang aku sangat pasti adalah lelaki di bawah pohon jambu tadi — berdiri dekat dengan lilin. Dengan sekali nafas, dia menghembuspadamkan api lilin itu dan aku tenggelam dalam lena yang sangat, sangat panjang.

 

 


Pengarang :