Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi
AGENDASUKANKINI

MSN Selangor nilai prestasi jurulatih setiap bulan, pastikan capai sasaran

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menilai indeks prestasi utama (KPI) jurulatih kendaliannya pada setiap bulan bagi mencapai sasaran ditetapkan.

Pengarah eksekutifnya berkata penilaian itu untuk memastikan pengendali dilantik bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohamad Nizam Marjugi menjelaskan elaun jurulatih dan atlet juga dibayar mengikut laporan kehadiran serta latihan yang dikemukakan kepada MSN pada setiap bulan.

“Kita memahami keadaan atlet yang berdepan keadaan tidak menantu susulan pembatalan SUKMA 2020 dan pelbagai kejohanan lain, namun atlet yang hebat berusaha mengekalkan prestasi pada setiap masa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata MSN bakal menilai semula program latihan atlet susulan penundaan beberapa kejohanan berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.


Pengarang :