Selangorkini
PKS Malaysia yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah antara RM79 bilion dan RM99 bilion kepada KDNK menjelang 2024. Foto: BERNAMA
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pandemik Covid-19 dorong peningkatan ekonomi digital – MDEC

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Unjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memperoleh pertumbuhan 20 peratus sumbangan e-dagang kepada ekonomi digital dapat dicapai kerana pandemik Covid-19 membantu mendorong peningkatan penggunaan digital dalam kalangan usahawan.

Naib Presiden perniagaan digital (industri-bekalan), Gopi Ganesalingam berkata pada 2019, ekonomi digital menyumbang sehingga 19.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sektor seperti MedTech, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Teknologi Agri akan menjadi pelopor pada tahun 2021, menyumbang kepada kenaikan pendapatan digital,” katanya kepada Bernama.

Gopi berkata Asean adalah antara ekonomi yang paling berkembang pesat di dunia dan menghubungkan serta mempromosikan perniagaan teknologi Malaysia ke rantau ini, sebagai permulaan, akan menjadi satu dorongan yang hebat.

Beliau berkata Malaysia sudahpun menerajui kedudukan kepimpinan dalam banyak sektor teknologi.

“Program eksport seperti GAIN MDEC mesti dipertingkatkan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat Asean digital,” katanya.

Meningkatkan kemahiran dan melahirkan bakat digital yang baik amat penting untuk ekonomi digital terus maju, jelasnya.

Ekonomi gig pula sedang meningkat dan ia perlu dimanfaatkan dan diperkembangkan untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

“Program seperti GLOW membantu mereka yang memerlukan platform “crowdsourcing” untuk menjana pendapatan digital. Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas, GLOW menjana pendapatan berjumlah lebih dari RM190 juta,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :