Warga emas Hamidah Jiddun, 63, menunjukkan pelbagai barangan yang dibeli pada harga yang berpatutan di jualan segar dari ladang PKPS Prihatin di Pangsapuri Rimba Jaya, Shah Alam pada 30 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelanggan puas hati harga, kualiti barangan segar pasar bergerak PKPS

SHAH ALAM, 30 JAN: Rata-rata pengunjung berpuas hati dengan kualiti barang dan harga ditawarkan melalui perkhidmatan Lori Selangor Agro Market di Pangsapuri Rimbajaya di sini hari ini.

Pelanggan, Basar Atan, 62, berkata harga barangan segar seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran yang dijual lebih murah berbanding pasaran memberi kelegaan kepada penduduk.

“Dengan adanya program sebegini dapat meringankan beban masyarakat kerana mereka tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk memperoleh bekalan.

Basar Atan

“Saya berharap kerja amal seperti ini diteruskan pada masa akan datang bagi memudahkan penduduk tanpa perlu bersesak di pasar raya,” katanya pada program jualan segar dari ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Prihatin.

Sementara itu, Mogana Chandra, 38, berkata dia sempat membeli ayam dan ikan walaupun tiba di lokasi kurang setengah jam sebelum perkhidmatan lori bergerak ditamatkan.

“Saya sampai agak lambat dan banyak barang sudah habis tetapi mujurlah masih terdapat beberapa bekalan makanan yang saya perlukan.

“Penjual tawarkan harga yang sangat berpatutan dan saya amat berharap sekiranya perkhidmatan ini boleh berada di sini setiap minggu,” katanya.

Mogana Chandra

PKPS memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jualan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih di semua daerah pada setiap hari kecuali Isnin bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.


Pengarang :