Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Permohonan tangguh bayaran PTPTN mulai hari ini hingga 31 Mac

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingin memohon penangguhan bayaran balik pinjaman perbadanan itu boleh mengemukakan permohonon melalui portal rasmi PTPTN di http://www.ptptn.gov.my/PenangguhanKhasBayaranBalik mulai 20 Jan hingga 31 Mac.

PTPTN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.

“Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan sama kelulusan permohonan diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan antara Januari hingga Mei 2021.

“Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan,” menurut kenyataan itu.

Peminjam juga diingatkan untuk mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan itu dapat disampaikan kepada peminjam.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi talian mesra PTPTN melalui talian 03-21933000 yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, pukul 9 pagi hingga 5 petang atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my di ruangan soalan lazim.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) berjumlah RM15 bilion, yang turut memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam PTPTN yang terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata semua pegawai di PTPTN harus memastikan proses mendapatkan penangguhan ini berjalan dengan kaedah yang paling mudah dan berkesan untuk rakyat.

“Kita tidak mahu birokrasi yang berlebihan dalam melaksanakan program bantuan ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :