Pasukan Polis Marin menahan 37 pendatang tanpa izin termasuk kanak-kanak perempuan berusia setahun ketika cuba menyusup keluar dari Malaysia malam tadi.
AGENDANASIONAL

Polis Marin tahan 37 pendatang cuba pulang ke Indonesia

SHAH ALAM, 19 JAN: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan menyusup keluar 37 pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun berhampiran perairan Sungai Buloh semalam.

Komander PPM Wilayah 1 berkata semua pendatang terbabit ditahan kira-kira jam 10.30 malam dipercayai dalam perjalanan pulang ke Indonesia.

“Ketika Op Khas Ungerin / Op Benteng dijalankan, kita mengesan sebuah tongkang mencurigakan dan mengarahkannya berhenti namun tidak diendahkan.

“Bagaimanapun seorang anggota Unit Gempur Marin (UNGERIN) bertindak berani dengan melompat masuk tongkang seterusnya menahan tekong serta krunya,” kata Asisten Komisioner Rosman Ismail menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati setiap pendatang dikenakan bayaran RM1,000 untuk dibawa keluar hingga ke Tanjong Balai, Indonesia.

“Tahanan serta tekong dibawa ke pangkalan PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Imigresen,” katanya.


Pengarang :