Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT Fabio Quartararo (kiri) melakukan aksi ‘wheelie’ pada Ujian Pra Musim MotoGP 2020 di Litar Antarabangsa Sepang pada 8 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

SIC ‘tunggu dan lihat’ sebelum umum kalendar musim 2021

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) belum memuktamadkan kalendar perlumbaan sukan permotoran yang akan berlangsung di situ susulan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata senarai kejohanan hanya akan diumum selepas PKP ditamatkan.

“Buat masa sekarang, semua aktiviti permotoran sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ditangguhkan ke tarikh baharu,” katanya dalam sidang media secara maya di sini, hari ini.

Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Jan.

Ditanya sama ada SIC akan melangsungkan kejohanan dengan konsep gelembung sukan jika PKP ditamatkan, Azhan Shafriman berkata pihaknya tidak menolak penggunaan kaedah itu sekiranya dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Azhan Shafriman berkata bagi kejohanan antarabangsa, pihaknya mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” perkembangan semasa Covid-19.

Semalam, Dorna Sports pemegang hak eksklusif iklan dan siaran televisyen MotoGP mengumumkan ujian musim sejuk Kejuaraan Dunia MotoGP 2021 yang sepatutnya diadakan di SIC dari 19 hingga 21 Februari depan dibatalkan akibat pandemik Covid-19 di Malaysia.

– BERNAMA

 


Pengarang :