AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kunjungi rumah terbuka negeri di Bandar Kuala Kubu Bharu malam ini

SHAH ALAM, 27 APRIL: Orang ramai dipelawa memeriahkan majlis rumah terbuka negeri sempena Aidilfitri di Bandar Kuala Kubu Bharu yang dijadual berlangsung 8 malam ini.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dijadual berangkat menghadiri acara tahunan itu selain Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO dan seluruh pimpinan negeri.

Pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkenal Naim Daniel, Sarah Suhairi, ratu rock negara Ella serta celoteh penyampai Suria FM Feeya Iskandar atau lebih dikenali sebagai Cik Piah.

Menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, aneka juadah disediakan kepada pengunjung selain pemberian duit raya dan pertunjukan bunga api.

“Apa tunggu lagi, jom sama-sama kita meriahkan Rumah Terbuka Riuh Raya #KitaSelangor 2024!! Jumpa di sana,” kata kenyataan di Facebook

Selain itu, reruai hebahan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut dibuka kepada pengunjung bagi memudahkan mereka memohon secara terus inisiatif berkenaan.

Keunikan dan warisan sejarah dimiliki KKB antara faktor bandar berkenaan dipilih sebagai lokasi rumah terbuka kali ini, menurut timbalan setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan)

Dato’ Mohd Yazid Sairi menjelaskan kawasan itu juga mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang boleh memikat pengunjung ke sana.

Sambutan tersebut boleh ditonton dalam YouTube SelangorTV dan semua media sosial Media Selangor.


Pengarang :