Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor mengambil langkah proaktif termasuk menjalankan proses nyahkuman dan pembersihan di premis terlibat pada 3 Disember 2020 mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia. Foto Facebook Pejabat Tanah dan Galian Selangor
AGENDANASIONAL

SOP utama keselamatan, kesihatan pekerja penting bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Pihak yang berkenaan disaran menggubal tatacara operasi piawai (SOP) baharu yang mengutamakan aspek berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) bagi membendung penularan Covid-19 di tempat kerja.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata amaran mengenai perlunya SOP berkenaan semakin ketara, khususnya bagi mereka yang tinggal, bekerja dan makan di dalam ruang bertutup tanpa sistem pengudaraan yang baik seperti pejabat dan restoran berhawa dingin.

“Majikan harus mendapatkan bantuan pakar OSH untuk menyediakan maklumat yang relevan dan terkini mengenai perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya apabila pekerja kembali ke pejabat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk satu tempoh yang lama, mereka akan terdedah kepada pengudaraan daripada pendingin hawa yang sudah lama tidak diselenggara, sekali gus mendatangkan risiko kepada kesihatan.

“Justeru, amat penting pendingin hawa diselenggara bagi memastikan suhu serta paras kelembapan dalam udara pada tahap yang sesuai. Pastikan juga ada sistem pengudaraan yang baik,” katanya, menambah tingkap pejabat juga harus dibuka sekali-sekala bagi membenarkan pengaliran udara yang lebih baik.

– BERNAMA


Pengarang :