Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai dan menyerahkan kalendar kepada salah seorang peniaga ketika lawatan kerja di Sabak Bernam pada 11 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Strategi kekang Covid-19, MB tunggu kelulusan MKN

SABAK BERNAM, 11 JAN: Sebahagian pelan Kerajaan Negeri dalam mengawal penularan Covid-19 perlu mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum diumumkan.

Dato’ Menteri Besar berkata tindakan tersebut dibincangkan Masjlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lalu, yang juga antara usaha membantu MKN memutuskan rantaian pandemik.

“Peningkatan kes sekarang berbeza dengan sebelum ini dan Selangor antara negeri yang mencatatkan kes tinggi kerana saringan besar-besaran terhadap pekerja asing.

Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sebelum merasmikan Dataran Patriotik di Kompleks Pejabat Daerah Sabak Bernam pada 11 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sekarang kita kena susun balik (rancangan) supaya sistem kesihatan mampu menampung dan mengawal kenaikan kes dengan lebih baik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas membuat lawatan kerja di sini hari ini.

Sidang khas Majlis Keselamatan Negeri Selangor pada Disember lalu memutuskan tiga ketetapan bagi membendung penularan Covid-19.

Perkara tersebut meliputi penyediaan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah untuk menempatkan pesakit Covid-19 tanpa gejala sekali gus mengurangkan kepadatan hospital sedia ada.

Kerajaan Negeri turut mengadakan Saringan Komuniti percuma kepada penduduk sekitar Klang dan Taman Sri Muda antara 2 Disember hingga 7 Januari susulan jumlah kes tinggi di kawasan berkenaan.

Selain pusat jagaan khas, Kerajaan Negeri juga menjalankan program pengasingan 247 pekerja bukan warganegara di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 26 November.


Pengarang :