Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Kita Selangor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook pada 20 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tabung bantuan Covid-19 diaktif semula, MB sumbang sebulan gaji

SHAH ALAM, 20 JAN: Tabung Bantuan Menangani Bencana Covid-19 Selangor diaktifkan semula hari ini bagi membantu usaha memerangi wabak berkenaan.

Dato’ Menteri Besar turut berbesar hati menyumbang sebulan gaji sebagai permulaan dan mengalu-alukan dana daripada syarikat koporat dan anak syarikat negeri (GLC).

“Syukur Alhamdulillah pagi ini Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM2.3 juta bagi tabung bantuan bencana,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pengumuman khas Pakej Kita Selangor.

Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri turut bercadang melaksanakan kaedah potongan gaji meliputi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri (ADN) dan pegawai tinggi GLC untuk disalurkan ke tabung berkenaan.

Menurut Amirudin langkah berkenaan sebahagian daripada ‘whole of government and whole of society approach’ yang digunapakai Kerajaan Negeri.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri menerima sumbangan berjumlah RM9.3 juta yang digunakan khusus petugas hadapan dan bidang perubatan bagi menangani Covid-19.

Pakej Kita Selangor dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.


Pengarang :