Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jumlah saringan Covid-19 ikuti tanda aras WHO

PUTRAJAYA, 16 FEB: Jumlah saringan Covid-19 bagi ujian RTK-Antigen dan RT-PCR yang dilakukan di seluruh negara masih berdasarkan tanda aras yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bercakap pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan tanda aras analisis ditetapkan ialah antara 10 hingga 30 kes negatif bagi setiap kes positif.

“Tanda aras kita adalah setiap kes yang positif kita perlukan sekurang-kurangnya 10 kes yang negatif jadi kalau kita laporkan sejumlah 2,176 kes positif Covid-19 semalam sepatutnya tanda aras kita 21,760 kes tapi semalam kita berjaya jalankan 41,895 ujian RT-PCR dan RTK-Antigen,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini ada 23 makmal swasta dan 13 makmal di universiti yang menjalankan analisis sampel ujian.

Pada masa sama, musim sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini antara faktor jumlah saringan berkurangan ekoran makmal swasta kurang menjalankan ujian saringan Covid-19 kerana jumlah sumber manusia yang terhad dan jumlah orang ramai yang hadir juga menurun.

“Tambahan pula apabila ujian dijalankan yang positif dilaporkan manakala negatif adakalanya tidak dimasukkan dalam sistem lagi iaitu negatif tidak diberi keutamaan untuk dimasukkan ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Jadi, ia seolah-olah menunjukkan jumlah kes iaitu RT-PCR berkurangan, bagaimanapun kalau kita lihat kes RTK Antigen masih meningkat iaitu hampir 25,000 ujian yang dijalankan,” katanya sambil menambah purata ujian RTK Antigen dan RT-PCR adalah hampir mencecah 41,000.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau tahap kesihatan bekas pesakit Covid-19 dengan melakukan pemantauan jangka pendek, sederhana dan panjang.

– BERNAMA

 


Pengarang :