AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Langgar PKP, lapan individu dikompaun berhibur di Petaling Jaya

SHAH ALAM, 11 FEB: Seramai lapan individu dikompaun RM1,000 selepas didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila mengunjungi pusat hiburan di Dataran Mentari, Petaling Jaya pada Selasa.

Ketua polis daerah Petaling Jaya berkata semua individu merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 57 tahun.

“Polis turut menahan empat individu merupakan pemilik premis dan pekerjanya serta dua pelanggan wanita warga asing antara tiga hingga 14 hari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” kata Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata dalam serbuan pada kira-kira jam 8.45 malam itu pihaknya turut merampas 10 botol minuman keras pelbagai jenama serta tiga alat elektronik bagi tujuan hiburan.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sektor hiburan membabitkan kelab malam, pub dan pusat karaoke hiburan masih belum dibenar beroperasi sepanjang PKP dilaksanakan sejak tahun lalu.


Pengarang :