Penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bekerjasama dengan polis dalam operasi pemantauan dan penangkapan haiwan ternakan pada 9 Februari 2021. Foto Facebook MDKS
PBTSELANGOR

MDKS kompaun dua pemilik ternakan sebabkan kacau ganggu

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengeluarkan dua kompaun terhadap pemilik haiwan ternakan di Jalan Raja Abdullah pada 9 Februari lalu.

MDKS berkata mereka melakukan kesalahan membiarkan haiwan itu berkeliaran tanpa kawalan sehingga menimbul kacau ganggu di laluan awam dan perumahan.

“Hasil operasi pemantauan di sekitar kawasan Bestari Jaya, Ijok dan Jeram itu kita berjaya menangkap lapan ekor kambing dan dua ekor lembu.

“Tangkapan ini dilakukan mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 dan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan,” katanya di Facebook.

MDKS berkata operasi itu bertujuan mencegah haiwan seperti lembu, kambing dan kerbau berkeliaran di kawasan awam yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Pihak berkuasa tempatan itu juga memberi peringatan pihaknya boleh menyita haiwan yang ditangkap serta disimpan di kurungan khas atas risiko pemunya dan dibayar mengikut harga ditetapkan.

“Selepas itu baharu mereka boleh menuntut kembali lembu, kambing dan kerbau mengikut Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

“Manakala, Seksyen 13 Enakmen yang sama memberi kuasa kepada PBT untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah terhadap pemilik kerana melanggar mana-mana peruntukan dalam enakmen tersebut,” jelasnya.


Pengarang :