AGENSISELANGOR

Pembinaan Lebuhraya SUKE punca gangguan bekalan elektrik di Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerja pengorekan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenal pasti sebagai punca berlaku gangguan bekalan elektrik di Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana baru-baru ini.

Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB Mohd Yusof Ibrahim berkata siasatan awal TNB mendapati kerosakan pada kabel TNB berlaku pada 1 Feb telah dibaiki, namun kerosakan sama berulang di laluan kabel sama pada 2 dan 7 Feb lepas.

“Situasi tersebut memaksa TNB menyalurkan bekalan kepada pengguna melalui set jana kuasa bergerak sementara kerosakan kabel diperbaiki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, TNB menyerahkan notis arahan berhenti kerja dan tuntutan balik kos pembaikan serta akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Kami memohon kerjasama semua pihak yang menjalankan kerja pengorekan agar merujuk dengan TNB terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian seumpama berulang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan awal boleh mengurangkan risiko kejadian kerosakan kabel bawah tanah TNB selain mengurangkan gangguan bekalan elektrik.

Katanya, pihak kontraktor boleh memaklumkan kerja pengorekan yang bakal dilakukan melalui portal ‘Call Before You Dig’ (www.cbyd.com.my), serta menyemak dengan pembekal utiliti mengenai saluran kabel atau paip di kawasan yang bakal dilaksanakan kerja pengorekan.

Untuk rekod, beliau berkata bagi lima minggu pertama tahun ini sahaja, lebih 45,000 pengguna TNB terkesan akibat kerja pengorekan pihak ketiga.

– BERNAMA

 


Pengarang :