Penduduk sekitar Puchong hadir menjalani saringan komuniti Covid-19 percuma secara bersasar di Dewan MPSJ Puchong Indah, Puchong pada 28 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sasar peroleh 1,000 sampel RTK-Ag hasil dua saringan komuniti

PUCHONG, 28 FEB: Sekurang-kurangnya 1,000 sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) dijangka diambil untuk dianalisis menerusi Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Puchong Indah dan Taman Dato’ Harun Petaling Jaya hari ini.

Pengurus Operasi Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) berkata sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan penduduk sekitar Puchong dan Petaling Jaya yang hadir seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan saringan percuma.

“Hebahan semasa dibuat wakil rakyat, pejabat tanah dan daerah termasuk media mendorong kehadiran masyarakat. Kita anggarkan 500 peserta disaring dari setiap lokasi namun orang ramai digalak datang awal kerana kita mahu saring seramai mungkin.

“Mereka perlu sedar Kerajaan Negeri laksana inisiatif di kawasan tersebut bermakna ia berisiko tinggi dengan jangkitan Covid-19,” kata Dr Ahmad Munawwar Helmi ketika ditemui di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Taman Puchong Indah di sini hari ini.

Pengurus Operasi Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO), Dr Ahmad Munawwar Helmi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau berkata lokasi saringan dipilih berikutan Petaling antara daerah mencatat angka jangkitan tertinggi melalui analisis teknologi kepintaran buatan (AI) Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Saringan bersasar percuma di Taman Puchong Indah menyasarkan penduduk berhampiran Kampung Sri Langkas, Taman Dahlia, Taman Puchong Perdana, Puchong Permata 2 dan Kampung Seri Andalas.

Manakala, program di Dewan Serbaguna MBPJ untuk komuniti sekitar Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, PJS3, PJS4, Kampung Medan dan Taman Maju Jaya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta untuk melaksanakan saringan bersasar percuma bagi membendung perebakan wabak dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat.

Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.


Pengarang :