Atlet wushu Selangor menjalani latihan bagi persiapan SUKMA di Pusat Latihan Wushu Selangor, Rawang pada 5 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASUKANKINI

Segera putus had umur penyertaan SUKMA – MSN Selangor

SHAH ALAM, 15 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diminta segera memutuskan had umur penyertaan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Johor.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata pihaknya sedang menunggu keputusan jawatankuasa tertinggi bagi menentukan atlet yang layak mewakili negeri ke temasya dwitahunan.

“Kita masih belum terima peraturan itu (had umur). Difahamkan, lembaga jawatankuasa sudah bermesyuarat pada Disember lalu cuma hal tersebut tidak diputuskan.

“Jadi, kita minta mereka buat keputusan dan maklumkan segera supaya kita dapat mempersiapkan atlet,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, syarat kelayakan tersebut penting bagi memberi keadilan kepada atlet yang sudah membuat persediaan lebih dua tahun sebelum pandemik melanda negara.

“Kita faham dengan situasi ketika ini sekalipun penganjurannya belum tentu selamat tahun hadapan. Apatah lagi selepas setahun mereka (atlet) menjalani latihan yang tidak teratur dan luar daripada kebiasaan.

“Susulan itu juga, untuk mendapat keputusan prestasi yang maksimum agak mustahil memandangkan latihan dan persiapan seperti kecergasan, fizikal serta kemahiran tidak cukup,” katanya.

SUKMA 2020 yang dijadual pada Julai dan Ogos tahun lalu ditunda ekoran ketidaktentuan dalam penularan pandemik Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Johor diberi tawaran untuk edisi 2022 kerana negeri itu sudah bersedia hampir 99 peratus daripada aspek perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Had umur untuk penyertaan temasya itu adalah 21 tahun ke bawah namun terdapat acara sukan seperti gimnastik yang menetapkan had umur 15 tahun ke bawah.

 


Pengarang :