EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian melihat sampel yang di ambil anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika meninjau sebuah kilang memproses sisa besi secara haram di Jalan Sungai Lalang, Semenyih pada 14 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sembilan kes cemar air sejak Januari diatasi, tiada gangguan bekalan

HULU LANGAT, 14 FEB: Sebanyak sembilan insiden pencemaran yang boleh menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA) berjaya ditangani Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sejak Januari lalu hingga hari ini.

EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata pencemaran itu kali pertama dikesan pada 15 Januari lalu membabitkan buangan sisa kimia ke pembentung di Sungai Cinchang.

Insiden pencemaran terakhir pula dikesan pada 11 Februari lepas berkaitan aktiviti peleburan logam berhampiran Sungai Semenyih.

“Skuad Pantas Luas sentiasa menjalankan pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama negeri ini bagi memastikan perlindungan sumber air demi bekalan air yang baik kepada pengguna .

“Oleh itu, laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kilang yang dibina secara haram di Jalan Sungai Lalang, Semenyih bersama Pemangku Pengarah Luas, Haslinah Amer.

Turut hadir anggota Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas).

Sementara itu, LUAS memaklumkan sepanjang tahun lalu, 19 kes pencemaran berjaya ditangani tanpa berlaku henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

Bagaimanapun 10 kes pencemaran telah menyebabkan henti tugas hingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

Daripada jumlah tersebut, 12 kes pencemaran disiasat berpunca akibat pelepasan efluen dari kilang dan premis.

 


Pengarang :