Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Tiga wakil rakyat PAKATAN anjur saringan Covid-19

SHAH ALAM, 6 FEB: Tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) menawarkan saringan Covid-19 pada harga serendah RM50 secara besar-besaran pada hari ini dan esok.

Ia membabitkan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Menerusi kenyataan bersama, mereka berkata program itu dianjurkan di empat lokasi berbeza bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Menurut kenyataan, 100 individu yang mendaftar awal ditawarkan bayaran RM50 bagi saringan menggunakan kaedah kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

“Selebihnya perlu membayar RM70 manakala ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (RT-PCR) pula berharga RM180.

“Inisiatif dilakukan setelah mendapati pandemik ini merebak agresif dalam kalangan masyarakat. Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) juga dilihat kurang berkesan membendung penularan wabak,” kata mereka.

Menjelaskan lebih lanjut, kesemua wakil rakyat itu memaklumkan program dua hari itu adalah permulaan dan bersedia melanjutkannya jika ada permintaan.

“Saringan besar-besaran dengan harga yang berpatutan adalah satu langkah yang sangat diperlukan buat masa ini bagi mengekang jangkitan serta menurunkan kadar morbiditi dan mortaliti dengan pengesanan yang pantas,” katanya lagi.

Lokasi ujian saringan:

Sabtu, 6 Feb 2021
1. Dewan Balai Raya Jalan 19, Desa Jaya, Kepong
2. Dewan Serbaguna SS7, Petaling Jaya
3. Dewan MBPJ PJS1, Taman Medan, Petaling Jaya
4. Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh, Kota Damansara, Petaling Jaya

Ahad, 7 Feb 2021
1. Dewan Balai Raya Jalan 19, Desa Jaya, Kepong
2. Dewan Serbaguna SS7, Petaling Jaya
3. Dewan MBPJ PJS1, Taman Medan, Petaling Jaya
4. Dewan MPKK Paya Jaras Tengah, Shah Alam

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-29359812.


Pengarang :