BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Baucar makanan asas MBSA bantu golongan kurang mampu

SHAH ALAM, 6 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan belian pakej baucar makanan asas kepada individu yang berhasrat untuk membantu golongan terjejas akibat Covid-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata menerusi Program Bakul Makanan MBSA itu, orang ramai boleh membeli baucar berkenaan di 80 cawangan Pasaraya 99Speedmart.

“Pakej yang ditawarkan ialah Pakej Aranda bernilai RM10, Pakej Mokara (RM30), Pakej Vanda (RM50) dan Pakej Caladenia (RM50) iaitu barangan nutrisi bayi.

“Orang ramai yang menyumbang melalui pembelian barangan makanan asas atau nutrisi bayi ini akan diberikan baucar khas dan sijil penyertaan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin juga berharap supaya masyarakat menyokong usaha ini sekali gus merealisasikan matlamat untuk menjadikan Shah Alam Bandar Raya pintar, berdaya huni dan berdaya saing menjelang 2035.

“Mereka yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi seksyen kemasyarakatan Jabatan Pembangunan Komuniti di talian 03-5510 5133 sambungan 1381, 1636 dan juga Bahagian Pembangunan Mampan Jabatan Perancangan, sambungan 1568, 1573,” katanya lagi.


Pengarang :