AGENDANASIONAL

Vaksin: TNB nasihat kontraktor elak aktiviti jejas bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai terutama kontraktor supaya lebih berhati-hati ketika melakukan kerja pengorekan bagi mengelak kemungkinan menjejaskan kestabilan bekalan elektrik sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini.

Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB Mohd Yusof Ibrahim berkata bekalan elektrik stabil diperlukan kerana vaksin Pfizer-BioNTech perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

Beliau berkata TNB sebelum ini memberi jaminan bekalan elektrik di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan stabil sepanjang pelaksanaan program berkenaan.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah agenda penting negara untuk melawan virus yang hampir setahun merencatkan pelbagai aspek kehidupan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 459 kes kerosakan akibat pengorekan pihak ketiga dilaporkan pada tahun lepas, dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi sebanyak 118 kes yang menjejaskan 141,000 pengguna, diikuti Kuala Lumpur dengan 108 kes (94,000 pengguna), Pahang dengan 43 kes (55,000 pengguna).

Sementara itu, Mohd Yusof mengulangi saranannya agar pihak kontraktor yang melakukan kerja pengorekan untuk menyemak dengan TNB terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang kerja supaya gangguan bekalan elektrik dapat dielakkan.

“Kegiatan mengusik dan mencuri pepasangan TNB boleh menyebabkan percikan arka dan seterusnya gangguan bekalan elektrik. Bermain layang-layang dan dron berhampiran talian TNB serta membawa galah dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian TNB juga mengundang risiko yang sama,” katanya.

Orang ramai disarankan agar memaklumkan segera kepada TNB CareLine 15454 atau menghubungi pihak polis sekiranya ternampak pihak mencurigakan menceroboh pepasangan TNB seperti pencawang dan menara talian.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 dari Februari hingga April tahun ini membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan.

Fasa 2, dari April hingga Ogos, akan membabitkan warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan berisiko tinggi dan golongan orang kurang upaya (OKU) merangkumi kira-kira 9.4 juta orang manakala Fasa 3, yang bermula Mei tahun ini hingga Februari 2022, meliputi rakyat Malaysia dan bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas, dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

– BERNAMA


Pengarang :