Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Azam Baki (tengah) di Putrajaya pada 22 Mac 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar gesa SPRM siasat isu wakil rakyat diugut alih sokongan

SHAH ALAM, 23 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat percubaan seorang menteri kanan yang didakwa mengugut ahli parlimen untuk lompat parti.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tekanan terhadap wakil rakyat pembangkang bagi memastikan pemerintah sedia ada terus berkuasa.

“Isu rasuah dan salah guna kedudukan adalah isu yang sangat penting kerana ia akan menentukan jatuh bangun bangsa ini, tergantung pada tekad dan iltizam kita dalam menyanggahnya.

“SPRM wajar diberi kebebasan dan kepercayaan bahawa badan itu mempunyai integriti serta keupayaan untuk menyiasat kes-kes rasuah tanpa rasa gentar dan pandang bulu,” tulisnya di Facebook.

Semalam, Anwar mengadakan pertemuan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Azam Baki bagi menyampai dan menyuarakan kebimbangan berhubung salah guna kuasa.

Sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba mengugut wakil rakyat pembangkang untuk mengalihkan sokongan.

Kenyataan itu berkait tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar yang meninggalkan parti itu pada 13 Mac dan menyokong kerajaan PN.

 


Pengarang :