Smart Selangor Parking dibangunkan selaras komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan hasrat Negeri Pintar terulung di rantau Asean menjelang 2025. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Bayaran parkir secara digital dapat jimat lebih 600,000kg kertas

SHAH ALAM, 10 MAC: Bayaran parkir secara digital menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) berjaya menjimatkan penggunaan 634,994 kilogram kertas, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata penjimatan dikira berdasarkan jumlah pengguna berdaftar dengan sistem bayaran parkir digital itu yang kini melebihi 1.5 juta sejak dilancarkan pada Julai 2018.

“Untuk rekod dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, sambutan terhadap aplikasi tersebut begitu menggalakkan malah mempunyai bilangan pengguna paling ramai berbanding aplikasi lain di Malaysia.

“Selain memudahkan pengguna, kita percaya usaha untuk mengurangkan penggunaan kertas dapat dicapai jika lebih ramai beralih kepada pembayaran digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat hala tuju pengurusan tempat letak kenderaan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam di sini semalam.

Dalam perbincangan disertai datuk bandar dan yang dipertua PBT, Kerajaan Negeri bersetuju penggunaan kupon parkir atau pembayaran secara manual akan ditamatkan pada 31 Disember ini.

Bayaran parkir secara digital melalui aplikasi dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit akan dikuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan.

Sistem tempat letak kereta pintar itu digunakan secara meluas oleh PBT negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.


Pengarang :