AGENDANASIONAL

Cuaca panas: Paras air empangan Selangor melebihi 90 peratus

SHAH ALAM, 30 MAC: Paras air beberapa empangan di negeri ini melebihi 90 peratus meskipun negara mengalami cuaca kering dan panas yang boleh menjejaskan muatan takungan air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata kapasiti air Empangan Sungai Tinggi pada paras 88.27 peratus dan Empangan Sungai Langat (87.96 peratus).

“Walaupun begitu, Kerajaan Negeri sedang memantau susulan Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan negara memasuki fasa kedua Monsun Timur Laut menyebabkan kurangnya taburan hujan serta cuaca kering dan panas sehingga hujung Mac.

“Justeru, paras air empangan dijangka akan mengalami penurunan. Tetapi kita sentiasa bersiap sedia dengan melaksanakan langkah mitigasi bagi memastikan kuantiti sumber air mencukupi dan bekalan air terawat berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Turut bersiaran, Pengarah LUAS Hasrolnizam Shaari dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Nor Aziah Jaafar.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata beberapa inisiatif diambil bagi memastikan bekalan air mencukupi iaitu melaksanakan operasi pengepaman air kolam di Lembangan Sungai Selangor sehingga 800 juta liter sehari (JLH).

Selain itu, katanya, pengepaman masuk bekalan air alternatif dari HORAS 600 sehingga 300 JLH turut dilaksanakan.

“Langkah ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif-inisiatif yang terkandung di dalam Skim Jaminan Air Mentah Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Infrastruktur yang dipengerusikan oleh Izham Hashim,” katanya.


Pengarang :