Selangorkini
Penderma hati, Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail, 45, (dua, kiri) turut membantu menguruskan pengkebumian jenazah Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Barakah,Tikam Batu, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Jenazah penerima hati pertama Malaysia selamat dikebumi

SUNGAI PETANI, 2 MAC: Jenazah penerima hati pertama di Malaysia Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, yang meninggal dunia pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Barakah, Kampung Masjid Tikam Batu dekat sini pada 5.40 petang.

Terdahulu, jenazah Mohd Afiq yang meninggal dunia pada 5.30 pagi di Hospital Selayang akibat komplikasi hati, tiba di kediaman datuk dan neneknya di Tikam Batu pada 3.30 petang sebelum disolatkan di Masjid Al-Barakah.

Penderma hati Wan Mohd Hafizam Wan Ismail turut kelihatan mengiringi jenazah dari hospital itu dan membantu menguruskan pengebumian Allahyarham.

Bapa Mohd Afiq, Muhammad Zaini Derahim, 50, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu sempat membuka mata dan merenungnya kira-kira 10 minit pada 5.20 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“…dia buka mata sebab sebelum ini dia memang tak buka mata, dia buka mata kedua-dua belah, lepas dia tengok saya, dia tutup mata dan dah tak ada (meninggal dunia),” katanya kepada pemberita selepas solat jenazah anaknya itu selesai.

Muhammad Zaini berkata beliau sedikit terkilan kerana hajat anaknya untuk memberikan cenderahati kepada jururawat dan doktor yang pernah merawatnya di hospital tidak tercapai sedangkan Allahyarham sudah menempahnya sebanyak 35 unit.

“Sebelum ini, saya tidak tahu benda itu, bila dah dapat tahu perkara ini saya pun rasa sebak kerana hajat dia tak tercapai sebab dia dah bayar deposit RM100. Dia selalu keluar masuk hospital, jadi ada jururawat yang baik dengan dia, dia nak bagi macam penghargaan sebab tolong jaga dia.

“Tetapi insya-Allah, saya dah berhubung dengan pembuat cenderahati itu, saya akan ambil dan sambung laksanakan hajat dia,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Hafizam, 45, yang mengetahui pemergian Allahyarham daripada Muhammad Zaini berkata beliau berasa tidak tenang dalam tempoh seminggu dua minggu ini sehingga pernah menjerit dalam tidur dan kemudian mengalirkan air mata.

“Kali terakhir berjumpa dia (Allahyarham) kelmarin (semalam) petang semasa saya iring wakil daripada TYT Yang Dipertua Negeri Melaka Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam dari Melaka untuk jumpa Afiq.

“Saya ambil peluang untuk jumpa sekali sebab kalau hari biasa, susah sikit nak masuk melawat Afiq, tambahan Covid-19 pula. Semalam saya ambil peluang untuk masuk dan tengok sendiri, luang masa lama juga tengok Afiq… semalam saya cukup tidur, tenang dan tak ada gangguan,” katanya.

Mohd Afiq sebelum ini dilaporkan dirawat di Hospital Selayang sejak 13 Feb lepas. Allahyarham menjalani pemindahan hati ketika berusia 14 bulan selepas Wan Mohd Hafizam, yang kini Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam, menyatakan kesediaan mendermakan sebahagian hatinya.

– BERNAMA


Pengarang :