Ir Izham Hashim menunjukkan skil memancing ketika lawatan beliau meninjau kemudahan di Kelong Paradise, Sabak Bernam pada 9 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kelong Paradise ditambah baik, sasar jadi taman ikan

SABAK BERNAM, 9 MAC: Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM200,000 bagi menaik taraf Kelong Paradise Waterfront Resort bagi menarik kehadiran orang awam.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata selain merancang menceriakan kawasan tumpuan pelancong itu, pihaknya bakal menambah beberapa kemudahan antaranya kawasan renang dan bilik berhawa dingin bagi keselesaan pengunjung.

“Kemudahan yang ada sebelum ini seperti lantai, tandas, tempat makan dan bilik keluarga juga akan dibaiki. Langkah ini menggalakkan pengunjung datang bersama keluarga.

Bangunan tiga tingkat Kelong Paradise di Sabak Bernam pada 9 Mac 2021 yang dirancang dijadikan kawasan taman ikan dan tarikan pelancongan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita jangkakan kerja pembaikan dan naik taraf ini berjalan ketika Ramadan. Semua kemudahan mengutamakan aspek keselamatan,” kata Ir Izham Hashim selepas meninjau kawasan berkenaan.

Menurutnya bangunan tiga tingkat dibina lapan tahun lalu itu juga bakal dijadikan kawasan taman ikan.

“Tahun lalu kos sebanyak RM350,000 digunakan untuk menambah tukun. Jadi kita yakin ikan dapat membiak dengan banyak,” katanya.

 

 


Pengarang :