Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura kepada Putera Aiman Abdul Rashid (tengah) ketika progam turun padang di Jalan Bunga Tanjung Sungai Tua, Batu Caves pada 9 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB serah tawaran pembiayaan pendidikan RM40,000

GOMBAK, 10 MAC: Dato’ Menteri Besar menyampaikan pembiayaan pendidikan kepada seorang pelajar perakaunan negeri ini yang menduduki kedua terbaik dunia dalam peperiksaan Mengekalkan Rekod Kewangan (FA2).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tajaan berjumlah RM40,000 oleh Yayasan Selangor membolehkan pelajar semester akhir sijil Juruteknik Perakaunan Bertauliah (CAT), Putera Aiman Abdul Rashid, 19, melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.

“Sudah tentu kita turut bangga apabila anak Selangor menerima pengiktirafan dunia, kita akan beri sokongan dan mahu Aiman meneruskan cita-citanya.

“Kejayaan ini membuktikan anak Selangor dan Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya selepas menyerahkan sumbangan di rumah keluarga Aiman di Sungai Tua, semalam.

Beliau berkata Selangor komited memperkasa aspek pendidikan yang menjadi penanda aras ke arah negeri pintar menjelang 2025.

“Selain pembiayaan Yayasan Selangor untuk pengajian di dalam negeri, kita juga menawarkan Program Selangor BITARA khusus untuk anak Selangor melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di universiti terkemuka luar negara,” katanya.

Sementara itu Putera Aiman terharu apabila menerima penghargaan yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar.

“Kejayaan ini membuktikan sesiapa boleh berjaya jika berusaha. Jangan ada persepsi hanya pelajar sekolah berasrama penuh sahaja kerana kerana pelajar sekolah harian pun boleh berjaya,”katanya.

Pada 5 Februari media melaporkan dua pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan kelayakan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan CAT.

UiTM memaklumkan, pelajar semester lima program ACCA mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan audit and jaminan (AA) manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama dan kedua dunia bagi peperiksaan FA2.


Pengarang :