Petugas keselamatan membantu bukan warganegara melakukan imbasan kod QR SELangkah ketika Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Seroja, Shah Alam pada 14 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Ketuk pintu rumah, ajak warga asing jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 14 MAC: Selcare mengambil pendekatan mengetuk pintu rumah penghuni sekitar Seksyen 27 di sini untuk mengajak mereka menjalani saringan percuma Covid-19.

Koordinator Saringan Komuniti memaklumkan kaedah itu digunakan kerana segelintir penduduk khususnya warga asing tidak menerima maklumat berkaitan program.

“Kita pergi rumah ke rumah minta mereka pergi jalani ujian walaupun ada yang memberi alasan sudah melakukan saringan sebelum ini.

Koordinator Saringan Covid-19 Selangor Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman

“Kita nak pastikan kawasan ini benar-benar bebas daripada Covid-19 dan kita minta mereka turun untuk lakukan ujian,” kata Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman ketika ditemui di lokasi saringan dekat Dewan Seroja Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 27 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sambutan yang diterima hari ini menggalakan khususnya dalam kalangan warga tempatan.

Jelasnya, tahap kesedaran orang ramai terhadap aktiviti itu semakin tinggi berikutan program berkenaan diadakan secara kerap.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Sepanjang awal Februari hingga minggu lalu, lebih 6,000 individu menyertai program percuma itu termasuk 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.


Pengarang :