Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi tabik hormat pada hari perbarisan sempena sambutan peringatan hari Polis ke-214 tahun 2021 di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPN: Institusi polis kekal ampuh jaga keselamatan negara

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Institusi polis kekal ampuh sebagai agensi penguat kuasa tertua dan terulung negara serta sentiasa bersedia memikul tanggungjawab dan amanah dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata demikian dalam ucapannya sempena Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

“Undang-undang negara ini mesti didaulatkan tanpa kompromi, jika ini dapat dilaksanakan, negara akan menerima manfaatnya.

“Keadaan keselamatan negara pada umumnya adalah baik dan terkawal dan polis kekal komited dengan peranan dan tanggungjawabnya,” katanya.

Perutusan Ketua Polis Negara itu dibacakan setiap Ketua Polis Negeri di seluruh negara pada sambutan di peringkat kontinjen masing-masing.

Anggota polis wanita pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA

Ketika negara masih berdepan dengan ancaman wabak Covid-19, sambutan Peringatan Hari Polis di seluruh negara dijalankan secara sederhana dalam suasana harmoni dengan norma baharu dan mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Biarpun dalam norma baharu, sambutan di Pulapol Kuala Lumpur tetap berlangsung dengan penuh istiadat polis selain lintas hormat tiga helikopter yang membawa bendera Jalur Gemilang dan Sang Saka Biru.

Tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ sekali lagi diangkat kerana ia membawa makna cukup signifikan dalam hubungan polis dan masyarakat demi mewujudkan suasana harmoni dalam negara.

Perasmian sambutan Hari Polis ke-214 itu disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebaik tiba di Padang Kawad Pulapol Kuala Lumpur, pada kira-kira 8.30 pagi menerima Hormat Perdana daripada Kawalan Kehormatan Utama.

Perdana Menteri diiringi Ketua Polis Negara kemudiannya memeriksa perbarisan menggunakan kenderaan istiadat polis, diikuti lintas hormat kawalan kehormatan dan panji-panji utama.

Sambutan Hari Polis kali ini turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan masyarakat berikutan penguatkuasaan PKP di seluruh negara bagaimanapun dilihat menjadi penyumbang kepada penurunan kadar jenayah di beberapa negeri.

Antaranya, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang masing-masing mencatatkan penurunan kes sebanyak 27 peratus tahun lepas disebabkan kawalan lebih ketat serta pemantauan berterusan polis terutama ketika PKP.

“Sebanyak 3,853 kes direkodkan pada tahun lepas berbanding 5,274 pada tahun 2019 iaitu penurunan 1,421 kes,” kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Di TERENGGANU pula, Ketua Polis negeri Datuk Roslee Chik berkata jumlah kes jenayah yang direkodkan di negeri itu pada tiga bulan pertama tahun ini menurun hampir 20 peratus iaitu sebanyak 358 kes jenayah direkodkan berbanding 433 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Sambutan di KELANTAN menyaksikan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada 10 anggota yang dinaikkan pangkat dan sijil penghargaan kepada 20 pengamal media daripada pelbagai agensi berita.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, majlis penyampaian sijil penghargaan sempena Hari Polis turut diadakan dan di PAHANG, Ketua Balai Polis Bukit Tinggi di Bentong Sjn Mej Maznan Omar menerima Anugerah Khas Ketua Polis Pahang bagi Polis Kontinjen negeri itu sebagai penghargaan atas keberaniannya menyelamatkan remaja perempuan berusia 16 tahun yang cuba membunuh diri pada 16 Mac lepas.

Maznan yang menyertai pasukan beruniform itu sejak 1986 menerima surat penghargaan dan wang tunai RM2,000 daripada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut menerima Anugerah Khas Ketua Polis Pahang ialah pesara polis berusia 110 tahun, Kpl Ariffin Mat Deris sebagai penghargaan kepada jasa beliau dalam ‘tiga era’ iaitu pemerintahan British, Jepun dan Komunis.

Di PERAK, seramai 32 warga polis menerima surat penghargaan dan bekas komando VAT 69, Sjn Mej (Bersara) Sakrani Hashim yang cedera semasa Op Daulat di Lahad Datu, Sabah pada 2013 pula menerima sumbangan Tabung Kebajikan Polis berjumlah RM5,000 yang disampaikan Ketua Polis Negeri Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Di LABUAN, sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 disambut sederhana dengan diketuai pemangku Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani tanpa kehadiran orang kenamaan, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan dan ketua-ketua komuniti.

Di SARAWAK, Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Aidi Ismail menzahirkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan anggota polis kerana tanpa penat telah berkhidmat terutamanya dalam memerangi wabak pandemik Covid-19 sejak tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :