Dato’ Seri Amirudin Shari (dua dari kanan) meninjau Pusat Operasi Pintar C5i Selangor (SSOC) di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 3 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Hubungan KEADILAN dan AMANAH di Selangor utuh

SHAH ALAM, 3 MAC: Hubungan antara Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) di Selangor masih utuh walaupun terpalit isu pemimpin lompat parti, kata pengerusi negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata prinsip perjuangan dan agenda reformasi menjadi kunci keteguhan pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) yang terus dijunjung pentadbiran negeri.

“Sekiranya berlaku sedikit ketegangan dalam parti atau PAKATAN, ia perkara biasa dan seingat saya pada 2008 kita hampir berpecah namun akhirnya kita kembali menyusun serta menjunjung mandat rakyat.

“PAKATAN Selangor akan mempertahankan hubungan antara parti serta tidak terperangkap dengan permainan politik,” kata Dato’ Menteri Besar ketika melawat Pusat Operasi Pintar C5i Selangor (SSOC) di Dewan Jubli Perak hari ini.

Sebelum ini, lima Ahli Dewan Negeri (ADN) AMANAH termasuk tiga dari Johor bertindak keluar parti dan berhasrat untuk menyertai KEADILAN.

Mereka ialah ADN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADN Serom, Faizul Amri Adnan serta ADN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Selain tiga ADN dari Johor, turut didakwa bertindak keluar parti adalah dua ADN dari Selangor.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyifatkan tindakan ADN terbabit menyertai KEADILAN tidak seserius berbanding jika mereka menyertai Perikatan Nasional (PN).


Pengarang :